BADMINTON
Purple League: Ampang Jaya bergelar juara tumbangkan Petaling
AMPANG JAYA BC 9 PETALING BC 2
Ampang Jaya BC dinobatkan juara Kejohanan Badminton Purple League 2022 selepas mudah mengatasi Petaling BC 9-2 dalam aksi final di Arena of Stars, Genting Highlands sebentar tadi.
Perseorangan lelaki utama dari Taiwan, Chou Tien Chen, memberikan langkah kanan buat Ampang Jaya apabila meraih kemenangan 3-1 (11-10, 11-5, 9-11, 11-6) ke atas pemain Perancis, Brice Leverdez.
Iklan
Meneruskan momentum kemenangan itu adalah perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei, yang mengatasi pemain Taiwan, Pai Yu Po, juga dengan keputusan 3-1 (11-9, 11-6, 10-11, 11-9.
Beregu lelaki dari Indonesia, Reza Pahlevi Isfahani-Sabar Karyaman Gutama, kemudian mengesahkan kejuaraan Ampang Jaya hasil kemenangan mudah 3-0 (11-9, 11-4, 11-6) ke atas Goh V Shem-Loh Juan Shen, sekali gus menyaksikan saingan beregu campuran dan perseorangan lelaki kedua tidak perlu lagi dipertandingkan.
Dalam pada itu, Puchong United BC muncul pemenang tempat ketiga selepas menewaskan kelab Thailand, Sena Bangkok Club, 10-5.
Must-Watch Video