Beregu wanita negara, Teoh Mei Xing-Go Pei Kee, terkilan tidak dapat menterjemaahkan corak permainan terbaik ketika menentang gandingan di ranking ke-32 dunia, Setyana Mapasa-Angela Y, hari ini.
Keringat mereka dikerah sebelum akhirnya terpaksa akur tumbang 15-21, 17-21 berpihak kepada lawan.
Turun sebagai gandingan bidan terjun dalam kempen Piala Uber di Chengdu, China yang menyaksikan skuad wanita negara terkandas di peringkat kumpulan, Mei Xing mengakui prestasi yang dipamerkannya kurang menyerlah berikutan hanya meraih satu kemenangan dalam tiga perlawanan.
Dia tidak dapat membendung kekecewaannya dan tangisan kapten pasukan itu memecahkan suasana.
Dia kini seakan-akan hilang arah apabila beberapa kali perlu menukar gandingan dan perlu menyesuaikan diri secara bersilih ganti tatkala usianya sudah meningkat.
"Saya sudah buat persiapan panjang dan sudah lama tidak turun dalam bertanding.
"Saya terkilan tidak dapat beraksi dengan baik.
"Dengan gandingan yang tidak menentu dan umur yang semakin meningkat, saya harap dapat tangani tekanan ini dan terus tabah," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Tambah Pei Kee, walaupun selepas setahun digandingkan semula, dia tetap berasa selesa membentuk gandingan pemain senior itu.
"Saya berasa selesa bergandingan bersamanya," katanya.
Shaiful Shamsudin
Wed May 01 2024