Skip to main content

Badminton

Piala Sudirman: Misbun tidak sertai skuad negara ke Nanning

misbun.jpg
Ketua jurulatih perseorangan lelaki, Datuk Misbun Sidek, sedia dipersalahkan di atas kegagalan skuad anak didiknya dalam Piala Sudirman 2019 selepas turut mengambil risiko tidak menyertai rombongan ke Nanning, China, Khamis ini.

Skuad perseorangan sudah pun tempang dengan ketiadaan jaguh utama, Datuk Lee Chong Wei.

Tambahan kali ini, tiada bantuan daripada pemain profesional, Liew Daren, sebaliknya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menggunakan kudrat Lee Zii Jia dan seorang lagi pemain muda, Cheam June Wei, yang berada di ranking ke-77 dunia.

Lebih berisiko, barisan muda negara tidak akan mendapat sentuhan Misbun dari tepi gelanggang ketika berentap dengan lawan yang berkemungkinan menurunkan Chen Long atau Shi Yuqi dari China ataupun K. Srikanth untuk India.

Tugas itu akan digalas pembantunya, Indra Wijaya.

"Perkara paling penting, Wijaya dapat membimbing pemain yang bakal beraksi. Tidak dinafikan, China dan India adalah lawan yang sukar tetapi saya berharap penerapan ilmu dan nasihat saya berhasil buat pemain," kata Misbun.

Sejak Chong Wei beraksi dalam Piala Sudirman pada 2005 sehingga 2017, jaguh perseorangan itu konsisten menjadi penyumbang mata buat Malaysia apabila mempunyai rekod yang cukup cemerlang dengan hanya tewas sekali ketika edisi 2009 kepada Lin Dan.

Justeru, ia satu beban yang besar untuk Zii Jia dan June Wei meneruskan rekod tersebut.

"Selama ini, Misbun sentiasa mengiringi saya dalam setiap kejohanan. Saya berharap di Nanning nanti dapat bekerjasama baik dengan Wijaya yang mengisi kekosongan yang ditinggalkan Misbun," kata Zii Jia.

Advertisement

Must Watch Video