Skip to main content

Badminton

Piala Sudirman: Zii Jia enggan persia peluang

17517ziijia.jpg
Perseorangan muda negara, Lee Zii Jia, enggan mempersiakan peluang menimba pengalaman setelah disenaraikan dalam skuad Piala Sudirman negara.

Nama Zii Jia sebelum ini hanya diletakkan dalam senarai simpanan sebelum barisan kejurulatihan berasakan dia berupaya memainkan peranan.

Peluang Zii Jia untuk diturunkan dalam keadaan terdesak juga cerah sekiranya kudrat Datuk Lee Chong Wei tidak dipertaruhkan dalam pertemuan menentang Jerman.

Ini susulan tahap kecergasan perseorangan kedua, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, yang masih di tahap membimbangkan.

"Saya agak terkejut dan berbangga kerana dipilih untuk menyertai skuad Piala Sudirman. Saya sentiasa bersedia untuk beraksi untuk Malaysia dan mahu memberikan yang terbaik," kata Zii Jia.

Dalam pada itu, Zii Jia menegaskan penyenaraiannya dalam skuad ke Gold Coast, Australia ini bukan pengesahan untuk beraksi dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Tempoh dua bulan sebelum skuad Sukan SEA diumumkan adalah waktu untuk bekerja keras membuktikan kemampuan buat perseorangan muda ini.

"Saya masih di dalam penilaian jurulatih untuk dipilih beraksi dalam Sukan SEA. Terdapat beberapa kejohanan yang bakal saya tempuhi sebelum terpilih beraksi pada Ogos ini."

Advertisement

Must Watch Video