Skip to main content

Advertisement

Badminton

Piala Sudirman: Tiada Lin Dan, tiada masalah

day-1-china.jpg
Kemenangan 5-0 tuan rumah, China, ke atas Malaysia sudah pun meletakkan mereka di landasan terbaik untuk cuba mendapatkan kejuaraan ke-11 Piala Sudirman dengan sebelah kaki sudah ke pusingan suku akhir.

Tidak seperti Malaysia yang merasai ketiadaan jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei, China tampak tidak goyah meskipun tiada kelibat dua kali pemenang pingat emas Sukan Olimpik dalam skuad Piala Sudirman kali ini.

Meskipun menurunkan barisan muda, China dilihat ampuh apabila kesemua pemain diturunkan rata-rata merupakan kelompok lima terbaik dunia, kecuali beregu wanita, Du Yue-Li Yunhui, yang berada di ranking kelapan dunia.

Kemenangan mutlak dalam perlawanan pembukaan juga sebagai amaran awal buat pencabar lain bahawa mereka begitu dahagakan kejuaraan Piala Sudirman tahun ini, selepas dinafikan Korea Selatan di pentas final edisi 2017 di Gold Coast, Australia.

"Saya rasa perlawanan tadi tidak mudah, saya tak boleh pandang rendah terhadap mana-mana pemain, saya rasa skuad kali ini juga mempunyai banyak peningkatan dan kami akan cuba rangkul piala di laman sendiri," kata perseorangan wanita China, Chen Yufei. 

Dalam masa sama, perseorangan lelaki China, Shi Yuqi, memuji tentangan sengit diberikan oleh skuad Malaysia, bagaimanapun dia tetap berasakan Malaysia bakal menghadapi kesukaran dengan gandingan muda kali ini setelah ketiadaan Chong Wei.

Ini merupakan kali pertama sejak 2005, Chong Wei tidak dapat menyertai Piala Sudirman kerana masih lagi belum mendapat perlepasan doktor dari pemulihan rawatan kanser hidung sejak Jun tahun lalu.

"Jika Chong Wei beraksi kali ini, pasti banyak beban yang dipikulnya. Kehadiran dia sedikit-sebanyak akan menggerunkan lawan. Pastinya barisan muda Malaysia akan menghadapi kesukaran tanpa dia di sini," kata Yuqi.

Advertisement

Must Watch Video