Skip to main content

Badminton

Piala Sudirman: Saya bukan penumpang -- June Wei

cheam-june-wei.jpg
Perseorangan lelaki negara, Cheam June Wei, menyifatkan dirinya sebagai bukan penumpang dalam pasukan Malaysia yang akan mengibarkan cabaran dalam Piala Sudirman bermula Ahad ini. 

Ketua jurulatih, Datuk Misbun Sidek, memilih untuk menyenaraikan June Wei dan juga Lee Zii Jia ke Nanning, China, manakala Soong Joo Ven diletakkan sebagai pemain simpanan yang akan berada di tanah air.

Ia satu penghormatan buat June Wei memandangkan dia pernah membuat penampilan dalam Piala Sudirman di Dongguan, China, empat tahun lalu apabila menjadi pemain sokongan kepada Datuk Lee Chong Wei.

"Sudah tentu saya teruja terpilih dalam skuad Piala Sudirman. 

"Saya menghargai peluang ini dan akan memanfaatkannya selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberikan peluang ini kepada pemain muda," katanya. 

Kurang dua hari sebelum skuad negara berlepas ke China, Khamis ini, Misbun membuat persiapan rapi dengan turut memberi penumpuan khusus kepada June Wei sekiranya dia terpaksa diturunkan bagi menggantikan Zii Jia ketika berdepan China atau India.

"Saya akan menggunakan pengalaman dalam Piala Tong Yun Kai 2019, Mac lalu kerana format pertandingan kedua-dua kejohanan ini lebih kurang sama. 

"Dalam tempoh dua minggu ini, saya berpuas hati dengan corak latihan yang dilalui dan saya berasakan berada di tahap yang baik," katanya. 

Malaysia diundi dalam Kumpulan 1D bersama-sama China dan India untuk kempen di  Pusat Sukan Guangxi, China, itu. 

 

Advertisement

Must Watch Video