Skuad badminton negara mengakhiri kempen Piala Sudirman dengan nota kekecewaan apabila tumpas 3-1 di peringkat suku akhir kepada Jepun, hari ini.
Hanya Datuk Lee Chong Wei berjaya dalam cubaan menghidupkan lunas kemaraan ke separuh akhir dalam saingan di Gold Coast itu, sebaliknya cabaran negara terus longlai apabila disingkirkan oleh lawan yang sama, Jepun, di peringkat kumpulan.
Dalam aksi di Stadium Tertutup Carrara itu, beregu utama lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, mempamerkan rentak sumbang apabila ditumbangkan 17-21 dalam set pertama.
Mereka mempamerkan penguasaan dalam set seterusnya menerusi kemenangan 21-16, sebelum terpaksa akur mengakhiri aksi sejam itu dengan kekalahan 11-21.
Taruhan kedua Malaysia, Soniia Cheah, turut gagal menyekat penguasaan Jepun dalam menghadirkan mata kedua apabila dibayangi seterunya di peringkat remaja, Nozomi Okuhara, apabila tewas 11-21, 9-21.
Begitupun, sisa perjuangan negara dinyalakan Chong Wei apabila tidak menghadapi masalah untuk menjinakkan lawan yang kali terakhir dihadapinya dalam Kejohanan Asia bulan lalu, Kenta Nishimoto, 21-15, 21-13.
Sandaran negara dalam beregu wanita pula, Woon Khe Wei-Vivian Hoo Kah Mun, berdepan tugas berat untuk menghadapi pasangan nombor satu dunia, Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi.
Pasangan beregu negara itu gagal mencari jawapan untuk melakar kejutan apabila tewas mudah 7-21 dalam set pertama.
Meskipun cuba bangkit dalam pertengahan set kedua, perjuangan mereka dinafikan dengan kekalahan 14-21.
Astro Arena
Fri May 26 2017