Skip to main content

Badminton

Piala Sudirman: Iskandar terima keputusan jurulatih

iskandar-290517.jpg
Pemain perseorangan lelaki negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, menganggap Piala Sudirman 2017 adalah medan untuk dirinya mencari pengalaman meskipun tidak diturunkan dalam kejohanan itu.

Iskandar pertama kali disenaraikan ke dalam skuad ke Piala Sudirman sepanjang karier professionalnya, mengiringi perseorangan utama negara, Datuk Lee Chong Wei.

Namun, Iskandar terlepas peluang untuk merasai pentas kejohanan apabila Chong Wei menjadi pilihan untuk dipertaruhkan dalam kesemua perlawanan peringkat kumpulan menentang Jerman dan Jepun, sebelum tewas 3-1 di peringkat suku akhir kepada negara Matahari Terbit itu.

Iskandar hanya menyaksikan ketiga-tiga perlawanan itu dari tepi gelanggang, namun menyifatkan ia sebagai satu proses pembelajaran yang berguna buatnya.

“Memang tidak terkilan kerana jurulatih ada sebabnya tersendiri untuk letakkan Datuk Lee Chong Wei sebagai pilihan utama,” kata Iskandar.

Melihat tugas berat yang bakal dipikul jika tersenarai ke Piala Sudirman di China pada tahun 2019, Iskandar menjelaskan sentiasa akan cuba yang terbaik.

“Tekanan boleh dirasakan sebab dia jelas dapat berikan mata penting dan melakukan tugas dengan baik, bagaimanapun sesiapa yang menggantikan tempatnya nanti perlu lebih semangat di masa akan datang."

 

Advertisement

Must Watch Video