Skip to main content

Badminton

Piala Sudirman: Chong Wei percaya Malaysia boleh mara ke separuh akhir

lee-chong-wei_2.jpg
Pemain perseorangan utama negara, Datuk Lee Chong Wei, mahu beregu lelaki negara, Tan Wee Kiong-Goh V Shem, menjadikan kekalahan kepada Jepun di peringkat kumpulan Kejohanan Badminton Piala Sudirman semalam sebagai pembakar semangat.

Katanya, ia penting untuk memacu Malaysia ke arah kejayaan apabila bakal berdepan lawan sama sekali lagi dalam saingan suku akhir, esok.

Bagi Chong Wei, Wee Kiong dan V Shem menjadi kunci utama yang boleh menentukan haluan Malaysia sama ada mara ke separuh akhir ataupun terkandas dalam suku akhir.

Malaysia tiada pilihan selain perlu menang dalam perlawanan beregu lelaki memandangkan Jepun memiliki kekuatan dalam acara perseorangan wanita dan beregu wanita.

"Semalam, saya sudah bercakap dengan Wee Kiong dan V Shem dan menasihatkan mereka agar jangan cepat kecewa. Ini hanya peringkat kumpulan, kita masih ada aksi suku akhir. 

"Jurulatih, Jeremy Gan, sudah pasti akan menganalisis aksi Jepun bagi membantu mereka," kata Chong Wei.

Gandingan utama negara itu tewas, 18-21, 21-17, 21-16, kepada Takeshi Kamura-Keigo Sonoda dalam tempoh sejam untuk Malaysia melengkapkan saingan selaku naib juara kumpulan.

Menurut Chong Wei lagi, Malaysia juga berpeluang untuk menebus kekecewaan 2015 apabila terkandas dalam suku akhir kepada Korea Selatan selepas menundukkan pasukan itu di peringkat kumpulan.

"Sudah tentu kami mahu menang, diharapkan dalam pertemuan kedua berdepan Jepun, kami mampu melakar kemenangan," katanya.

"Jangan terlalu yakin dan elak meletakkan tekanan besar terhadap diri sendiri. Seperti kita, saya pasti Jepun juga tidak akan mengubah senarai nama pemain yang akan turun beraksi."

Advertisement

Must Watch Video