BADMINTON
Piala Sudirman: China tepati ramalan bergelar juara kali ke-13
China meneruskan dominasi dalam Kejohanan Badminton Piala Sudirman apabila bergelar juara buat kali ke-13 dengan menewaskan Korea Selatan 3-0 di Pusat Olimpik Suzhou sebentar tadi.
Lebih menakjubkan, mereka bergelar juara dalam edisi kali ini dengan hanya melepaskan dua mata ketika menewaskan Jepun 3-2 dalam aksi separuh akhir semalam.
Terdahulu, China meraih kemenangan bersih 5-0 dalam tiga aksi peringkat Kumpulan A sewaktu menewaskan Mesir, Singapura dan Denmark.
Iklan
Mereka kemudian menewaskan Indonesia 3-0 untuk melayakkan diri ke separuh akhir.
Dalam aksi final kali ini, bergu campuran, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong, memberikan mata pertama buat negara Tembok Besar itu dengan menewaskan Seo Seung Jae-Chae Yu Jung 18-21, 22-20, 21-8.
Perseorangan lelaki, Shi Yu Qi, kemudian turut menepati ramalan apabila hanya memerlukan 55 minit untuk menewaskan Lee Yun Gyu 21-13, 21-17.
Perseorangan wanita, Chen Yu Fei, mengesahkan kejuaraan buat China dengan mengatasi An Se Young 21-16, 22-20 dalam masa 57 minit.
China memegang rekod bergelar juara Piala Sudirman terbanyak dalam sejarah kejohanan itu menerusi kejayaan pada 1995, 1997, 1999, 2001, 2005, 2007, 2009, 2011, 2013, 2015, 2019, 2021 dan yang terbaru 2023.
Malaysia, dalam pada itu, menamatkan edisi kali ini selaku pemenang pingat perak selepas tewas 1-3 kepada Korea Selatan dalam separuh akhir semalam.
Kejayaan itu menyaksikan skuad negara mnengulangi pencapaian terbaik yang dicapai dalam edisi di Vantaa pada 2021 dan di Guangzhou pada 2009.
Must-Watch Video