Skip to main content

Badminton

Piala Sudirman: Aaron-Wooi Yik, Soniia pamer aksi terpuji

60854288_2100245333377815_3852421300408549376_n.jpg
Di sebalik kekalahan 5-0 skuad negara kepada China dalam aksi pembukaan Piala Sudirman 2019, tumpuan terarah kepada pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta perseorangan wanita, Soniia Cheah, yang tampil dengan aksi terpuji dan hampir mencipta kejutan terhadap wakil tuan rumah.

Malaysia hampir dapat mencuri mata daripada skuad beregu lelaki, Aaron-Wooi Yik, yang nyaris mengejutkan juara dunia, Li Junhui-Liu Yuchen, namun kegopohan memaksa mereka akur untuk tewas dalam aksi tiga set, 21-18, 14-21, 22-24.

Biarpun kecewa gagal menyumbang mata, Aaron dan Wooi Yik tetap bangga apabila masih mampu untuk menyaingi wakil tuan rumah, kerana dua pertemuan sebelum ini dalam Kejohanan Dunia 2018 serta Terbuka Singapura April lalu, mereka tewas mudah straight set.

"Mereka agak terkejut dengan persembahan kami kerana pernah menang mudah ke atas kami sebelum ini. Saya agak kecewa kerana tewas tetapi ia merupakan persembahan yang terbaik berdepan mereka," kata Wooi Yik.

Begitu juga aksi terpuji Soniia yang tidak tunduk dengan mudah kepada pemain di ranking ketiga dunia, Chen Yufei, dengan mengheret perlawanan ke rubber set.

Meskipun tewas, Soniia berpandangan ia merupakan antara prestasi terbaiknya tahun ini di sebalik persembahan yang kurang memberangsangkan dalam beberapa kejohanan dilaluinya.

"Saya berusaha sebaik mungkin dalam perlawanan ini. Dia merupakan salah seorang pemain terbaik dunia dan saya masih dalam usaha untuk mendapatkan persembahan terbaik saya," kata Soniia.

Bagaimanapun, baki tiga lagi aksi membabitkan perseorangan lelaki, beregu wanita dan campuran menyaksikan Malaysia mudah diratah lawan, sekali gus meletakkan skuad negara kini berada dalam zon bahaya dan perlu menang ke atas India dalam aksi terakhir kumpul 1D esok untuk layak ke suku akhir.
 

Advertisement

Must Watch Video