Skip to main content

Badminton

Peminat ingin tahu perkembangan Chong Wei -- Selvaraj

chong-wei.jpg
Lebih sebulan tanpa khabar, sudah tiba masanya untuk Datuk Lee Chong Wei sendiri membuka mulut terhadap apa yang sebenar membelenggu dirinya.

Ketika ini, skuad badminton negara sudah terbukti seperti tidak boleh bernyawa tanpa bekas pemain nombor satu dunia itu. 

24 Julai lalu merupakan kali pertama Chong Wei disahkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu berehat panjang gara-gara komplikasi pernafasan.

Enam hari kemudian, Chong Wei tampil dalam perkongsian peribadi di media sosial bagi mempromosikan raket daripada jenama pengeluar rasminya.

Itu merupakan kali terakhir dunia melihat Chong Wei dan sehingga hari ini, BAM tidak memberikan tarikh sebenar kepulangan Chong Wei ke gelanggang latihan selain menawarkan jawapan "sebelum hujung tahun ini".

"Menjadi idola dan legenda kepada peminat Malaysia, sudah tiba masanya Chong Wei sendiri tampil kepada umum. 

"Sekurang-kurangnya biarlah orang tahu perkembangannya daripada mendapat berita kurang enak yang disampaikan segelintir pihak.

"Ia tidak bagus untuk Chong Wei dan saya harap dia akan tampil menjelaskan keadaan sebenar -- memberitahu dia akan pulih dan pulang ke pangkuan skuad negara tepat pada masanya. 

"Peminat-peminat inilah yang sentiasa memberikan sokongan kepadanya," kata bekas Pengarah Prestasi Tinggi BAM, Datuk James Selvaraj.

Tanpa Chong Wei, badminton Malaysia menutup kempen Sukan Asia 2018 dengan nota buruk.

Buat pertama kali sejak edisi 1986, skuad badminton gagal menyumbang kepada pungutan pingat kontinjen negara.

"Jika BAM melantik pengarah kejurulatihan, apakah mereka mempunyai sumber bakat?

"Jika pemain gagal menyerlah, maka tiada apa yang boleh dilakukan. 

"Tanpa Chong Wei, skuad negara juga bagaikan hilang punca," ujar beliau lagi. 
 

Advertisement

Must Watch Video