Skip to main content

Badminton

Pearly kembali turun gelanggang

pearly-tan-thinaah-malaysia-badminton_1.jpg
Pemain beregu wanita negara, Pearly Tan, disahkan dapat beraksi dalam Kejohanan Badminton Terbuka Denmark 2022 di Odense dari 18 hingga 23 Oktober ini.

Berita gembira itu disahkan oleh Pengarah Kejurulatihan Bahagian Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky, ketika ditanya mengenai status terkini Pearly.

“Ya (memang Pearly dapat beraksi),” katanya yang turut mengesahkan Pearly dan rakan gandingannya, M Thinaah, akan bersaing dalam Terbuka Perancis 2022 di Paris dari 25 hingga 30 Oktober ini.

Sebelum ini, peluang gandingan utama negara itu untuk beraksi di Eropah agak samar kerana Pearly masih dalam proses pemulihan susulan kecederaan hamstring dialaminya dalam Terbuka Jepun awal bulan lalu.

Dalam Terbuka Denmark, Pearly-Thinaah akan berdepan pasangan Thailand, Supissara Paewsampran-Puttita Suppajirakul, diikuti menentang juara Terbuka Malaysia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia, dalam pusingan awal Terbuka Perancis.

Di sebalik kegembiraan Pearly itu, nasib sama tidak menyebelahi seorang lagi pemain beregu wanita negara, Anna Cheong, selepas berita terkini menyatakan dia mengalami ligamen krusiat anterior (ACL) pada lutut kanannya.

“Saya dapat tahu ACL selepas cedera terpijak kaki seorang pemain ketika sesi latihan baru-baru ini. Bila lakukan imbasan MRI (pengimejan resonans magnetik) pasukan perubatan mengesan saya mungkin kena ACL ini sudah lama,” kata Anna.

Kredit: Sinar Harian

Advertisement

Must Watch Video