Skip to main content

Badminton

Paris pentas pemanas badan skuad badminton

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

rexy-mainaky.jpg
Kejohanan Badminton Terbuka Perancis bakal menjadi medan pemanas badan terbaik buat barisan pemain negara untuk berdepan ujian sebenar dalam Sukan Olimpik Paris 2024.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky, mahu pemain menjadikan kejohanan itu sebagai pentas untuk menyerlahkan potensi mereka sebelum ke Paris pada Julai depan.

Beliau berkata, pemain sudah bersedia dan menuntut mereka meningkatkan prestasi selain berharap mereka dapat menyesuaikan diri dengan perubahan cuaca panas di Malaysia dengan cuaca sejuk di Perancis.

"Persiapan berjalan dengan lancar. Mereka perlu terus kekal fokus untuk kekalkan prestasi dan corak permainan. Saya juga harap mereka tak terkesan dengan perubahan cuaca serta perjalanan yang jauh.

"Apa yang penting berikan yang terbaik. Capai prestasi yang ditetapkan dan tingkatkan keyakinan diri sebelum Sukan Olimpik," katanya.

Cabaran negara bakal digalas oleh pemain perseorangan lelaki profesional, Lee Zii Jia, yang akan membuka tirai aksi menentang pemain Denmark, Magnus Johannesen.

Zii Jia, yang menghuni ranking ke-10 dunia, akan menjadi wakil tunggal beraksi dalam acara itu selepas Ng Tze Yong terpaksa berehat selepas menjalani pembedahan kecederaan belakang baru-baru ini.

Turut beraksi ialah beregu utama, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang dijadual menentang pasangan Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel, dalam pusingan pertama.

Beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah, yang kembali ke Paris dengan misi untuk merampas gelaran juara dimenangi pada 2022, akan berdepan wakil China, Zhang Shu Xian-Zheng Yu.

Dalam aksi beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, akan memulakan saingan berdepan rakan senegara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

--Sinar Harian
 

Advertisement

Must Watch Video