BADMINTON
Para Badminton Antarabangsa Sepanyol: Farees Anuar fokus persiapan rapi
Paralimpian negara, Farees Anuar, kini dalam fasa persiapan rapi menjelang Kejohanan Para Badminton Antarabangsa Sepanyol 2025 dari 11 hingga 16 Mac ini.
Menurut Farees, persiapan kali ini berjalan lancar dengan latihan yang lebih tersusun dan lengkap bagi menghadapi kejohanan tersebut.
“Kami sudah cukup bersedia untuk kejohanan di Sepanyol kerana mempunyai tempoh latihan yang mencukupi.
Iklan
“Setiap kejohanan memberi fokus tersendiri dan bagi saya, kejohanan yang jauh serta tempoh persiapan yang panjang ini sangat baik untuk atlet menambah baik aspek yang masih perlu diperbaiki.
“Walaupun kejohanan ini berbaki dua bulan lagi, saya melihatnya sebagai satu kelebihan untuk kami bersedia sepenuhnya," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.
Menariknya, Farees kini menjalani latihan di bawah bimbingan jurulatih berpengalaman, Nova Armada, yang turut turun padang pada hari ini bagi memperkemaskan teknik permainan serta meningkatkan stamina atlet muda ini di pentas antarabangsa.
Meskipun dalam suasana sambutan Tahun Baru Cina, Farees tetap komited dengan latihannya demi memastikan prestasi terbaik di Sepanyol nanti.
“Sebagai pemain, konsistensi sangat penting.
“Dalam sukan badminton, jika kita berhenti berlatih untuk tempoh yang lama, ia akan menjadi lebih sukar apabila kembali ke gelanggang.
“Sebab itu, walaupun bercuti atau menyambut perayaan, saya tetap menjalani latihan bagi mengekalkan momentum dan kecergasan," katanya lagi.
Dengan disiplin dan dedikasi tinggi, Farees Anuar optimis memberikan aksi terbaiknya di kejohanan tersebut, seterusnya mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
Must-Watch Video