Jurulatih perseorangan lelaki negara, K. Yogendran, menjelaskan Ng Tze Yong menunjukkan perkembangan positif dan sudah melakukan latihan di gelanggang untuk kembali bersaing pada tahun depan.
Jurulatih itu kagum dengan perkembangan serta semangat juang yang tinggi ditunjukkan pemain tersebut.
"Ng Tze Yong sudah memulakan latihan secara tekal, tidak semestinya di atas gelanggang tetapi program yang melibatkan pagi dan petang.
"(Berdasarkan) latihan di atas gelanggang, kami atur (program) yang sesuai dengan keadaannya," katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Negara (ABM), Bukit Kiara, hari ini.
Bagaimanapun, dia mengambil pendekatan untuk tidak terlalu memberi tekanan kepada anak buatnya itu kerana bimbang mampu mengundang risiko kecederaan yang lebih teruk.
Sebaliknya, Yogendran memberi ruang untuk Tze Yong membahagikan masa bagi mengimbangi sesi latihan di gimnasium dan di gelanggang.
"Kami tidak mahu terlalu menekannya di atas gelanggang, kami berikan penekanan untuknya atasinya sebelum kembali ke gelanggang.
"Dia boleh kembali berlatih, bukan di tahap 100 peratus. Bermain dan beraksi bagus adalah perkara berbeza," katanya.
Shaiful Shamsudin
Tue Oct 29 2024