Skip to main content

Badminton

Misi akademi badminton BAM semakin terlaksana

datuk-seri-norza-zakaria_1.jpg
Misi untuk menghimpunkan semua pemain badminton di bawah satu akademi bermula Januari tahun depan kian tercapai selepas pebincangan terperinci dalam mesyuarat Jawatankuasa Persatuan Badminton Malaysia (BAM), hari ini. 

Mesyuarat pertama yang dipengerusikan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, bersetuju untuk mendapatkan kerjasama daripada Kementerian Pendidikan Malaysia bagi cadangan memindahkan semua pemain muda badminton dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) ke akademi badminton tahun hadapan.

Ini bermakna sesi pembelajaran mereka juga akan berjalan di dalam akademi. 

Norza mengambil serius cadangan itu bagi memastikan semua pemain dapat berada di bawah satu bumbung dengan fasiliti terbaik.

Difahamkan, Institut Sukan Negara (MNS) mini akan turut diwujudkan. 

"Kita akan buat kelas di dalam akademi dengan segala pembelajaran dan modul mengikut acuan kita. Ini kerana kita tidak mahu bila masa ada ruang baru sesi pembelajaran mereka akan diselitkan," jelas Norza.

Turut dibincangkan adalah pembentukan yayasan yang bakal mengurus pembiayaan akademi dengan kebajikan bekas pemain tidak akan diabaikan. 

"Kami telah menghantar surat rasmi kepada pejabat Perdana Menteri melalui menteri yang bertanggungjawab, iaitu Datuk Seri Azalina Othman, dan kami telah mendapat maklum balas bahawa perkara itu akan diselesaikan tidak lama lagi.

"Melalui yayasan ini, antara perkara penting adalah mengurus akademi yang sedia ada serta akademi yang akan datang," tambahnya.

Sementara itu, Norza secara rasmi melancarkan Liga Badminton Remaja Kebangsaan yang turut dihadiri penaung BAM, Datin Seri Paduka Rosmah Mansor, hari ini.

Liga berkenaan akan dijalankan serentak di seluruh negeri selama tiga bulan bermula September hingga November berdasarkan format Piala Thomas dengan juara setiap negeri akan beraksi di peringkat kebangsaan.

Misi utama kejohanan itu adalah menghasilkan pemain berkualiti tinggi daripada akar umbi untuk diserapkan dalam skuad kebangsaan.

"Ia merupakan liga yang bermula daripada akar umbi bukannya yang akan terus ke peringkat kebangsaan. Ia fokus kepada peringkat sekolah dalam tempoh tiga bulan daripada September sehingga November. 

"Saya menggesa kesemua persatuan negeri untuk melaksanakan liga ini dalam masa tiga bulan," kata Norza.

Perlaksaan liga ini turut mendapat persetujuan daripada jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Katanya:"Ia bagus untuk BAM kerana ketika ini kejohanan di peringkat akar umbi memamg kurang jadi ini bagus dalam melahirkan pemain baru untuk diserapkan dalam skuad kebangsaan."
 

Advertisement

Must Watch Video