Hari kedua Perodua Malaysia Masters 2024 mendapat sambutan luar biasa peminat apabila kira-kira 8,000 orang hadir ke Axiata Arena.

Meskipun baru memasuki pusingan pertama, peminat mengambil peluang cuti umum sempena hari Wesak untuk memberi sokongan kepada pemain tempatan. Kehadiran ramai penonton diakui pemain negara, menaikkan semangat mereka untuk memberikan aksi terbaik.

Menurut Toh Ee Wei, dia dan pasangan, Chen Tang Jie teruja tampil pada kejohanan Perodua Malaysia Masters kali kedua, tahun ini. “Di luar hujan… ramai penyokong datang awal dan saya rasa amat seronok,” kata Ee Wei, selepas memenangi perlawanan ke atas lawan dari Thailand, Pakkapon Teeraratsakul-Phataimas Muenwong 21-12, 21-14.

Menurutnya, sokongan padu penonton memberi suntikan semangat untuk mereka memperbaiki prestasi tahun lalu, apabila terkandas seawal pusingan pertama. Mengulas mengenai sasaran di Perodua Malaysia Masters 2024, Ee Wei berkata: “Menjelang Sukan Olimpik, setiap kejohanan kami ambil serius dan mahu menang.”

Sementara itu, Tang Jie berkata, beraksi di gelanggang sendiri selepas hampir sebulan tidak menyertai kejohanan, ada perkara yang jurulatihnya, Nova Widianto mahu mereka capai.

“Jurulatih ada beritahu kami bahawa di Malaysia Masters, dia mahu lihat kami berubah dari segi mental dan konsisten dalam permainan,” tambah Tang Jie.

Pencapaian terbaik Tang Jie-Ee Wei sepanjang tahun ini adalah muncul naib juara Thailand Masters Februari lalu dan Terbuka Switzerland pada Mac.