Beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin, mencipta kejutan apabila bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan beregu pilihan ketujuh dari Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari, dalam pusingan kedua Kejohanan Badminton Masters Jepun di Kumamoto sebentar tadi.
Berdasarkan ranking semasa, Pang Ron dan Su Yin berada di kedudukan ke-25 dunia, 10 anak tangga di bawah lawan berkenaan dan mereka bermula goyah dalam set pertama.
Tidak pernah berada di depan sejak meraih mata pertama, pasangan negara itu berhasil mengikat kedudukan 18-18 sebelum akur dengan kekalahan 18-21 dalam set pembukaan itu.
Skrip hampir sama berlaku dalam set kedua, di mana mereka pada satu ketika jauh ketinggalan 12-19 tetapi mula meraih mata demi mata untuk mengikat kedudukan 19-19 sebelum mencatatkan kemenangan 24-22 bagi mengheret permainan ke set ketiga.
Dalam set penentuan, Pang Ron-Su Yin mempamerkan dominasi total sejak dari awal untuk menempah tempat ke suku akhir dengan kemenangan 21-10 selepas secara keseluruhan bertarung selama sejam.
Mereka seterusnya akan bertemu beergu Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supisara Paewsampran, bagi penentuan ke separuh akhir esok.
Muzaffar Musa
Thu Nov 14 2024