Jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto, berpendapat adalah lebih baik seandainya Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menyerlah lebih awal tahun ini.

Beregu campuran itu melangkah masuk ke 2024 dengan rekod cantik tahun lalu, lantas Nova menyifatkan pencapaian "Little Gangsters" yang terlepas gelaran juara Kejohanan Masters Thailand, semalam, sebagai lambat panas.

Nova berharap anak buahnya dapat memanfaatkan baki sebulan ini untuk melakukan penambahbaikan sebelum menghadapi kejohanan yang akan datang.


"Mereka seharusnya lebih sabar kerana lawan mereka mempunyai corak bertahan yang baik.

"Mereka terlalu terburu-buru dalam set kedua terutama Tang Jie.




"Apabila mereka ketinggalan, pemain negara mudah panik. Ketika jumpa lima beregu handalan dunia, mereka mudah panik apabila gagal mematikan bola.

"Untuk memungut satu mata pun sukar jadi mereka harus mempersiapkan mental," katanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Dalam aksi akhir Masters Thailand itu, gandingan nombor sembilan dunia tersebut tumpas 0-2 kepada wakil tuan rumah, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai untuk meraih gelaran naib juara.