Skip to main content

Badminton

Kurang dari 100 hari -- Misbun

misbun.jpg
Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, memberi tempoh kurang dari tiga bulan untuk menyenaraikan calon kedua yang akan mengiringi Lee Zii Jia beraksi dalam acara individu Sukan SEA Filipina 2019.

Zii Jia tampak sudah pasti akan mengisi salah satu slot acara perseorangan dan baki satu lagi akan ditentukan oleh tiga pemain antara Soo Joo Ven dan dua lagi pemain muda, Aidil Sholeh Ali Sadikin dan Lim Chong King.

Ketiga-tiga pemain tersebut mempunyai tempoh kurang 100 hari untuk meyakinkan Misbun bagi meletakkan mereka bersaing dalam acara individu.

Misbun menegaskan pengalaman tidak membawa sebarang kelebihan, khususnya buat Joo Ven, jika Aidil dan Chong King mampu menawarkan peluang lebih baik untuk meraih pingat buat Malaysia.

"Berbaki 100 hari lagi, kami akan menilai barisan pemain negara yang bakal dipilih untuk beraksi di Manila nanti," katanya.

Misbun turut menyedari percaturan yang diambilnya dengan menyenaraikan Aidil dan Chong King yang baru berusia 19 tahun tanpa sebarang pengalaman beraksi dalam kejohanan utama di peringkat senior berbanding menggunakan beberapa pemain senior seperti Cheam June Wei, Tan Jia Wei mahupun Leong Jun Hao.

"Kami menggunakan pendekatan ini supaya dapat memperkembangan kekuatan mental dan keyakinan. Inilah masa buat mereka menampilkan kemampuan sebenar.

"Persoalan kepada setiap pemain, adakah mereka mahu sekadar menjadi pencabar atau juara ketika beraksi dalam Sukan SEA nanti? Jadi, ini adalah pendekatan yang terbaik buat mereka," tambahnya.

Sementara itu, Zii Jia mengakui persaingan untuk mendapatkan emas di Manila nanti menjadi lebih mencabar setelah beberapa negara mula menunjukkan taring, khususnya pasca Kejohanan Badminton Dunia di Basel, Switzerland minggu lalu.

Paling menyinar sudah semestinya perseorangan Thailand, Kantaphon Wangcharoen, yang berjaya meraih gangsa dalam kejohanan itu, selain perseorangan Singapura, Loh Kean Yew, pula menyinar dengan pernah menundukkan juara Sukan Olimpik tiga kali, Lin Dan, untuk menjuarai Terbuka New Zealand awal tahun ini.

Misi yang berat untuk Zii Jia membawa pulang emas selepas kali terakhir dimenangi Chong Wei Feng pada edisi 2015 di Singapura.

"Saya melihat diri saya sebagai bukan pilihan ketika bersanig di Manila nanti dengan kehadiran beberapa pemain berkualiti bagi edisi kali ini. Tidak termasuk dengan wakil Indonesia yang berada dalam kelompok 10 terbaik dunia," kata Zii Jia.

Advertisement

Must Watch Video