Skip to main content

Badminton

Kepentingan sains sukan terhadap prestasi atlet

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

chong-wei-310517.jpg
Dengan perkembangan teknologi sains sukan serta bantuan dalam bentuk kewangan diperuntukkan khusus pihak kerajaan bagi bidang sukan di negara, adakah ia boleh dikatakan satu pelaburan yang berbaloi?

Menerusi pembentangan belanjawan negara sejak 2014, dapat disimpulkan Malaysia serius untuk menjadikan negara sebuah negara sukan. 

Paling ketara adalah ketika pembentangan bajet bagi 2017, Malaysia komited terhadap pencapaian atlet di pentas dunia dengan melaburkan sebanyak RM1.2 bilion, khusus untuk sukan negara dan daripada jumlah itu, RM54 juta untuk program pembangunan dan penyediaan atlet manakala RM70 juta lagi adalah untuk program elit, iaitu Program Podium dan persediaan ke kejohanan sukan utama.

"Sukan bukan sekadar mengenai kemenangan sahaja. Kalau atlet-atlet kita menang, tempias kemenangan itu hadir dari segi perpaduan. 

"Great Britain telah melabur sebanyak USD1.3 bilion untuk program berprestasi tinggi. 

"Pencapaian-pencapaian ini bersifat linear. Ia mencerminkan tahap pelaburan tersebut di mana sebahagian besarnya memang dalam sains dan teknologi," kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Dr Khairi Zawi. 

Datuk Nicol Ann David, Azizulhasni Awang, Datuk Lee Chong Wei dan Pandelela Rinong antara ikon sukan yang boleh dibanggakan negara.

Meskipun tiada jumlah mahupun data spesifik boleh diperoleh dalam menentukan kos melahirkan atlet berstatus kelas dunia, mereka membuktikan pelaburan kejayaan terhadap bidang sukan sebenarnya adalah berbaloi. 

Sebagai contoh, Chong Wei merupakan antara atlet yang sering mendapatkan kepakaran ISN dalam kariernya. 

Di samping menjadi sandaran negara dalam acara badminton, Chong Wei mengakui dikala umurnya yang semakin meningkat, dia terdedah kepada ancaman kecederaan dan dalam masa sama, perlu mengekalkan tahap prestasinya.

Beberapa siri kecederaan yang dialaminya sebelum ini hampir meragut peluangnya untuk beraksi di pentas utama dunia, antara yang terbaru adalah insiden kecederaan lutut kiri sebelum terbang ke Birmingham bagi menyertai Kejohanan Seluruh England.

Kemampuan dan kecekalan merupakan satu faktor, namun kepentingan rawatan sains sukan yang diberikan kepadanya juga tidak patut ditolak tepi.

"Sains sukan amat penting buat saya. 

"Ini kerana kami perlu mendapatkan fisioterapi, urutan. 

"Andai kata kami ditimpa kecederaan semasa pertandingan, ia amat penting untuk atlet," kata Chong Wei. 
 

Advertisement

Must Watch Video