Skip to main content

Badminton

Kemenangan di Ipoh tingkat semangat Pearly, Thinaah

thinaah-pearly.jpg
Keakraban hubungan sebagai rakan di luar gelanggang meningkatkan keserasian gandingan baru beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah, apabila berjaya meraih kejuaraan pertama mereka 23 Jun lalu.

Gandingan itu mencipta sensasi selepas menjuarai Cabaran Antarabangsa Malaysia di Ipoh bulan lalu walaupun ia merupakan penampilan pertama pasangan itu dalam kejohanan tersebut.

Bagaimanapun, Thinaah menegaskan perjalanan menukar acara perseorangan kepada beregu bukan perkara mudah dan tidak dapat direalisasikan tanpa bantuan rakan sepasukan.

"Daripada perseorangan kepada beregu, permulaannya sememangnya sukar kerana banyak perkara perlu dipelajari. Terima kasih kepada barisan jurulatih dan rakan-rakan atas tunjuk ajar dan bersabar dengan saya. Saya perlukan masa untuk meningkatkan diri dalam acara beregu," katanya.

Sementara itu, selepas bergandingan dengan Yap Ling, Teoh Mei Xing dan Lim Chiew Sien, Pearly teruja apabila digandingkan bersama Thinaah dan optimis mampu melakar lebih banyak kejuaraan. 

"Gaya Thinaah agak sama dengan saya dan kami kawan rapat di luar. Jadi, seronok apabila beraksi bersama di dalam gelanggang," ujar Pearly.

Setakat ini, ketua jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak, mengesahkan gandingan itu masih berada dalam fasa percubaan walaupun sudah melepasi ujian pertama mereka.

Advertisement

Must Watch Video