Skip to main content

Badminton

Kejohanan Dunia: Skuad negara berdepan laluan berliku

badminton.jpg
Skuad badminton negara berdepan tugas sukar untuk membawa pulang sekurang-kurangnya pingat gangsa dalam Kejohanan Badminton Dunia di Basel, Switzerland bermula 19 Ogos ini apabila pemain negara diundi berdepan sesama sendiri di peringkat awal.

Malaysia meletakkan sandaran terhadap 12 taruhan dalam edisi kali ini, termasuk empat wakil profesional.

Majlis undian di ibu negara hari ini menyaksikan pertemuan sesama wakil Malaysia dijangka berlaku seawal pusingan kedua membabitkan beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, yang mendapat laluan percuma, dengan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin. 

Sementara itu, dalam acara beregu campuran pula, Goh Soon Huat-Shevon Lai diramalkan untuk bertemu pasangan profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, seandainya melepasi pusingan pertama.

"Walaupun akan bertemu Peng Soon dan Liu Ying, saya fikir kedua-dua beregu membawa nama Malaysia.

"Jadi, ia akan menjadi perkara yang baik untuk Malaysia," kata Shevon.

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, mengakui Malaysia tidak boleh mengharapkan tuah semata-mata dalam usaha untuk memastikan wakil negara ke separuh akhir.

"Buat masa ini, kami tidak mempunyai masa untuk melakukan analisis secara mendalam.

"Namun, sasarannya tetap sama.

"Kami hanya perlu mengatasinya.

"Tiada apa akan datang dengan mudah.

"Selagi kami bersemangat, sentiasa ada peluang untuk mencapai sasaran itu," katanya.

Tahun lalu, perseorangan lelaki profesional, Liew Daren, mencipta kejutan apabila meraih pingat gangsa kejohanan itu walaupun menjadi wakil tunggal negara dalam acara berkenaan.

Advertisement

Must Watch Video