Skip to main content

Badminton

Kejohanan Dunia: Fokus atasi ranjau pusingan awal

chan-peng-soon.jpg
Pertembungan kudrat profesional dan bakat kebangsaan dalam Kejohanan Badminton Dunia menjadi latar belakang kempen yang membabitkan dua gandingan berstatus Olimpian Rio 2016.

Jika segalanya mengikut ramalan, beregu campuran profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, akan berentap dengan Goh Soon Huat-Shevon Lai dalam pusingan ketiga.

Satu kerugian buat skuad negara apabila dua wakil berstatus pilihan bakal mencongak perhitungan di peringkat awal Kejohanan Dunia.

Sebelum memikirkan pertemuan itu, Peng Soon perlu berwaspada dengan halangan pusingan pertama yang hadir menerusi gandingan adik-beradik Samuel-Chloe Magee.

"Peluang kami 50-50 kalau berjumpa Soon Huat-Shevon. 

"Kami perlu mengatasi Magee terlebih dahulu memandangkan bukan mudah untuk mengatasi mereka kerana dalam pertemuan terakhir kami, kami berentap sehingga ke set penentuan," katanya ketika ditemui Sri Petaling, pagi tadi. 

Sementara itu, dalam saingan beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, yang memperoleh laluan percuma dalam pusingan pertama, dijangka bertembung dengan bekas rakan kebangsaan, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, dalam aksi seterusnya.

V Shem mengambil pendekatan untuk menumpukan kepada prestasi sendiri sebelum pertemuan itu susulan aksi hambar dalam dua kejohanan utama, iaitu Terbuka Indonesia dan Jepun, bulan lalu. 

"Walaupun terkandas dalam pusingan pertama Terbuka Indonesia dan Jepun, kami mara ke suku akhir Terbuka Thailand, oleh itu ia mungkin (satu petanda) untuk kami membuat satu permulaan yang baik dalam Kejohanan Dunia. 

"Satu kerugian untuk berjumpa rakan senegara tetapi tiada apa yang boleh dilakukan. 

"Kami perlu berikan aksi terbaik," katanya. 

 

Advertisement

Must Watch Video