Skip to main content

Badminton

Kejohanan Badminton Remaja: CRC Taipex Penang buru slot ke suku akhir

crctaipex.jpg
Kejohanan Badminton Remaja Astro B-15 Tahun kebangsaan baru sahaja memasuki hari kedua saingan, namun sudah menampakkan penguasaan daripada beberapa pasukan yang semakin hampir untuk melayakkan diri ke peringkat seterusnya.

Sebanyak 32 pasukan dari seluruh Malaysia meneruskan aksi di hari kedua yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara.

Pasukan yang bertanding dibahagikan kepada lapan kumpulan dan hanya dua terbaik dalam akan mara ke pusingan suku akhir.

Antara yang dalam momentum terbaik memburu slot ke pusingan seterusnya adalah wakil dari Pulau Mutiara, CRC Taipex Penang.

Selepas berjaya benam Akademi Badminton Jian Yi 5-0 semalam, CRC Taipex Penang terus bernafsu, kali ini menjadikan Akademi Badminton Times dari Kepong sebagai mangsa apabila turut menang 5-0.

CRC Taipex Penang hanya perlu satu lagi kemenangan pada sebelah petang ini menentang Sekolah Tinggi Hin Hua dari Klang untuk mengesahkan kemaraan ke suku akhir.

"Pemain-pemain beraksi seperti yang telah ditetapkan dan kami dalam landasan terbaik untuk ke suku akhir," kata pengurus pasukan CRC Taipex Penang, Ooi Soo Sheng.

Turut mencuri tumpuan adalah pasukan pasukan badminton Duo yang turut memperoleh kemenangan kedua berturut-turut.

Biarpun mereka menang mudah sebelum ini menentang Kelab Badminton Tai Thung, berlainan pula apabila barisan pemain pasukan Duo dipaksa berhempas pulas sebelum mencatat kemenangan 3-2 ke atas Kelab Badminton Bandar Klang.

Duo juga hanya memerlukan satu kemenangan menentang pasukan East Coast untuk mara ke pusingan seterusnya.

"Pada permulaan saingan, pemain-pemain tidak dapat mendapatkan keselesaan kerana beraksi dalam gelanggang yang berhawa dingin," jurulatih pasukan Duo, Chong Chun Ling.

Advertisement

Must Watch Video