Skip to main content

Badminton

Kejohanan Badminton Dunia: Jin Wei sah tidak beraksi

goh-jin-wei.jpg
Perseorangan badminton wanita negara, Goh Jin Wei, menerima tamparan hebat apabila terpaksa melupakan penampilannya dalam Kejohanan Badminton Dunia bermula 19 Ogos ini.

Juara remaja dunia itu sebelum ini dilaporkan mengalami penyakit misteri, yang kemudian disahkan sebagai gangguan sistem penghadaman.

Ia memaksanya untuk mengurangkan sesi latihan serta membatalkan penampilan dalam beberapa kejohanan utama sepanjang bulan lalu, termasuk Terbuka Indonesia dan Terbuka Jepun.

Bagaimanapun, berita dia akan turut terlepas kejohanan di Basel, Switzerland itu, 19 Ogos ini, pasti sesuatu yang mengecewakan.

"Dia tidak akan mengambil bahagian dalam Kejohanan Dunia.

"Kami sudah mengesahkan statusnya dalam kejohanan itu.

"Kami juga sudah memaklumkannya mengenai situasi itu.

"Namun, kami berharap dia akan bersedia selepas itu," kata Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann.

Chong Hann, bagaimanapun, menawarkan sedikit perkembangan positif apabila berkongsi keadaan semasa Jin Wei yang jarang kelihatan di gelanggang latihan di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara.

"Sebenarnya, dia sudah kembali ke gelanggang untuk mengikuti sebahagian latihan.

"Dan sebenarnya, kita tidak dapat melihatnya di gelanggang pagi ini kerana dia menghadiri temujanji dengan doktor.

"Dia sudah kembali ke gelanggang sejak seminggu atau dua minggu lalu," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video