Skip to main content

Badminton

Justin berpotensi ganti Chong Wei, kata Misbun

justin-hoh-misbun.jpg
Pemain muda berusia 19 tahun negara, Justin Hoh, dilihat berpotensi menjadi pengganti legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Perkara itu didedahkan bekas Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Remaja Akademi Badminton Malaysia (ABM), Datuk Misbun Sidek, yang menyifatkan Justin sebagai pemain terbaik pernah dilatihnya sepanjang membimbing kem perseorangan remaja.

“Dia (Justin) bakat terbaik saya ada ketika itu, dalam masa tiga tahun terus menjadi. Dia seorang pemain yang mendengar (tunjuk ajar) dan hendak berjaya.

“Sebab itu dia cakap saya sebagai bapanya. Dia tahu sebab dia serahkan jiwa dan raga untuk jadi pemain berjaya,” katanya dalam sidang media khas di Kuala Lumpur semalam.

Sebagai rekod, Justin pernah memenangi beberapa gelaran termasuk Kejohanan Antarabangsa Bonn 2022 di Jerman, Terbuka Croatia 2022 dan Cabaran Antarabangsa Uganda 2023.

Dalam pada itu, Misbun turut mendedahkan bahawa dia tidak bersetuju dengan tindakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyerap Justin ke dalam skuad senior tahun lalu kerana menganggap anak didiknya itu belum matang untuk berdepan pemain lebih berpengalaman.

Malah menurutnya, Justin dikatakan enggan 'dinaikkan pangkat' ke skuad senior selain kecewa dengan kecederaan yang dialaminya.

Justin terpaksa berehat panjang selama enam bulan ekoran kecederaan achilles tendon kiri yang menimpanya ketika menjalani latihan April lalu.

Pemain yang menghuni ranking ke-67 dunia itu dilihat mempunyai hubungan rapat dengan Misbun apabila menganggap legenda badminton negara itu sebagai bapanya sendiri.

Malah, Justin dalam satu hantaran di Instagram pada Ahad lalu menganggap Misbun sebagai jurulatih terbaiknya.

BAM pada Jumaat memaklumkan Misbun dan badan induk itu bersetuju secara bersama untuk berpisah susulan prestasi hambar skuad muda negara di Kejohanan Remaja Asia, yang berlangsung di Yogyakarta, Indonesia awal Julai lalu.

Misbun, bagaimanapun, mendakwa keputusan BAM itu bertentangan dengan apa yang dimaklumkan kepada media, malah dia tidak bersetuju dengan perkara itu, yang didakwa sudah diatur lebih awal.

Biarpun kecewa dan terkilan dengan keputusan berkenaan, jurulatih berusia 63 tahun itu tidak boleh berbuat apa selain menerima dan akur.

Kredit: Sinar Harian

 

Advertisement

Must Watch Video