Skip to main content

Badminton

Jin Wei akui belum berada di tahap sebenar

goh-jin-wei_1.jpg
Perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, mengakui prestasinya belum di tahap sebenar selepas pulih daripada kecederaan.

Bagaimanapun, ia sama sekali tidak menghalang pemain muda itu untuk berusaha menyumbangkan mata buat skuad negara dalam saingan badminton Piala Sudirman.

Tahun ini, Jin Wei belum menemui rentak sempurna seperti musim lalu apabila menimbulkan rasa gerun kepada lawan yang berdepan dengannya.

Kombinasi kecederaan buku lali serta proses pemulihan yang memenatkan tampak  menyumbang kepada kemerosotan prestasi pemain itu yang kini bakal menerajui skuad wanita negara di Gold Coast, Australia.

"Prestasi saya dan keadaan tubuh saya telah bertambah baik. Mungkin daripada aspek mental dan fokus sahaja yang masih perlu ditingkatkan," ujarnya.

Pemain berusia 16 tahun itu -- yang terlepas beberapa aksi hampir tiga bulan -- mengakui prestasinya belum mencapai kepuasan diri sendiri.

Sedar betapa pentingnya untuk skuad wanita menyumbangkan mata kepada negara, dia berharap dapat mengerah prestasi terbaiknya berdepan dua lawan negara, Jerman dan Jepun, dalam peringkat kumpulan.

"Kita belum tahu siapa yang akan dinamakan berdepan kedua-dua negara itu. Segalanya bergantung kepada jurulatih untuk membuat keputusan kerana sudah tentu mereka tidak menjangkakan perseorangan wanita untuk menyumbang mata," jelasnya.

Advertisement

Must Watch Video