Skip to main content

Badminton

Jelajah Dunia BWF: Dua wakil negara bawa cabaran separuh akhir

ong-yew-sin-teo-ee-yi-2022.jpg
Dua wakil negara meneruskan kemaraan ke separuh akhir selepas menamatkan saingan peringkat kumpulan menerusi dua kemenangan pada kejohanan Jelajah Dunia Akhir Persekutuan Badminton Dunia (BWF) 2022 di Bangkok, hari ini. 

Beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi, mengejutkan pasangan Indonesia yang juga pilihan utama kejohanan, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, dari Indonesia sehingga ke set penentuan dalam tempoh 53 minit permainan.

Dalam aksi Kumpulan A itu, pasangan negara yang menghuni ranking kelapan dunia tewas pada set pertama 10-21, namun bangkit meraih kemenangan 21-17 pada set kedua.

Biarpun menerima tentangan sengit pasangan nombor tiga dunia itu, Yew Sin-Ee Yi tenang mengawal permainan untuk menang set penentuan 21-19.

Menerusi kemenangan itu meletakkan mereka sebagai juara kumpulan selain dibantu kemenangan beregu Korea Selatan, Choi Sol-gyu-Kim Won-ho ke atas wakil Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dalam satu lagi perlawanan.

Biarpun pasangan negara dan Fajar-Rian berkongsi dua mata hasil dua kemenangan daripada tiga perlawanan, Yew Sin-Ee Yi muncul juara kumpulan atas kelebihan head-to-head hasil kemenangan ke atas gandingan Indonesia itu pada Jumaat.

Sebagai rekod, ia merupakan kali kedua berturut-turut Yew Sin-Ee Yi mara ke separuh akhir Jelajah Dunia Akhir.

Pada edisi tahun lalu, Yew Sin-Ee Yi mara ke peringkat yang sama selepas muncul naib juara Kumpulan B.






Mengikut jejak kemenangan itu, beregu campuran nombor satu negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, turut memahat kejayaan tersendiri apabila buat pertama kali meraih slot separuh akhir.

Mereka melakar kemenangan kedua selepas menundukkan pasangan Thailand, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran, dalam aksi terakhir Kumpulan B.

Pasangan negara yang menghuni ranking kelapan dunia mudah menewaskan gandingan tuan rumah 21-17, 22-20 dalam tempoh 41 minit permainan.

Kemenangan itu memadam kekecewaan Kian Meng-Pei Jing yang tewas kepada wakil tuan rumah, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai 9-21, 11-21 dalam saingan kedua kumpulan pada Khamis.



Sebelum itu pada aksi pembukaan kumpulan, pasangan negara mengejutkan juara Sukan Olimpik Tokyo 2020, Wang Yi Lyu-Huang Dongping dari China, 23-21, 14-21, 21-16.

Kemaraan Kian Meng-Pei Jing turut dibantu dengan kemenangan Dechapol-Sapsiree atau lebih dikenali sebagai Bass-Popor ke atas Yi Lyu-Dong Ping 23-21, 21-13 dalam satu lagi aksi.

Kemenangan itu melonjakkan Dechapol-Sapsiree sebagai juara Kumpulan B, manakala Kian Meng-Pei Jing pula muncul di tempat kedua.

Dalam penampilan pertama pasangan negara di pentas itu tahun lalu, mereka menghuni kedudukan tercorot tanpa sebarang kemenangan.

Ketika itu, Kian Meng-Pei Jing diletakkan dalam Kumpulan A bersama Yuta Watanabe-Arisa Higashino (Jepun), Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (Malaysia) dan Mathias Christiansen-Alexandra Boje (Denmark).

Kredit: Sinar Harian 

Advertisement

Must Watch Video