Skip to main content

Badminton

Iskandar dituntut buktikan kemampuan

iskandar-zulkarnain_2.jpg
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria, menganggap tahun ini sebagai penentuan kritikal buat Iskandar Zulkarnain Zainuddin, yang perlu membuktikan dia masih relevan memikul tanggungjawab negara. 

Di sebalik usaha BAM dan ketua jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek, mempertahankan kelibat Iskandar dalam kelayakan Piala Thomas bulan depan, ini kerana ada syarat ketat yang perlu dilunaskan Iskandar. 

Segala-galanya melibatkan kebangkitan prestasi Iskandar, Norza sendiri mengakui tahun ini adalah musim berat buat pemain berusia 27 tahun itu selepas melewati kecederaan panjang tahun lalu. 

"Tahun 2018 adalah tahun kritikal buat Iskandar. Namun, semacam ada sinar baru daripadanya. 

"Saya mahu Iskandar membuktikan bahawa dia serius untuk membawa cabaran perseorangan lelaki kedua negara selepas Datuk Lee Chong Wei," kata Norza mengenai kejohanan yang pernah Malaysia tawan sebanyak lima kali itu. 

Penilaian seterusnya buat Iskandar adalah dalam Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar bulan depan yang juga kelayakan ke Piala Thomas.

Sebagai pemain berpengalaman, dia dituntut menjadi tulang belakang pasukan bersama Chong Wei. 
 
"Kalau dilihat prestasinya dalam saingan Purple League (mewakili Kelab Badminton Petaling), dia telah mengalahkan nama-nama besar seperti pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu, dan Zulfadli Zulkiffli.

Iskandar, bagaimanapun, tewas kepada pemain KB Cheras, Fikri Ihsandi Hadmadi 1-3 (6-11, 11-10, 10-11, 2-3) malam tadi.

"Kami berharap bahawa ini satu permulaan yang baik untuk Iskandar menjadi salah seorang tonggak utama dalam kejohanan di Alor Setar dan (pusingan akhir) di Bangkok nanti," katanya lagi. 


 

Advertisement

Must Watch Video