Skip to main content

Advertisement

Badminton

Formula buat pemain negara lebih hebat daripada Momota

ismail-saman.jpg
Bakat masa depan negara boleh menjadi sehebat perseorangan lelaki nombor satu dunia, Kento Momota, tetapi dengan syarat mereka perlu bersedia untuk mengorbankan usia muda.

Itu pandangan bekas perseorangan lelaki negara, Ismail Saman, yang berasakan pemain muda negara memiliki bakat semula jadi yang lebih baik berbanding bintang Jepun tersebut. 

Bagaimanapun, apa yang membezakan juara dunia itu dengan perseorangan lelaki negara yang berada dalam skuad kebangsaan ketika ini adalah kemahuan untuk mengutamakan badminton.

Ini yang perlu dijadikan sandaran buat pemain seperti Lee Zii Jia seandainya dia mahu berada dalam kalangan pemain elit dunia.

"Kita lihat pemain Jepun sedang meningkat naik sedangkan mereka sebenarnya tidak mempunyai skil. 

"Tetapi tenaga, ketahanan dan stamina mereka mampu bertahan selama sejam setengah hingga dua jam, sedangkan permainan pemain negara sebaik mencecah 45-50 minit mulai kendur," katanya. 

Pada masa sama, Ismail bimbang tahap persaingan lemah akan membelenggu skuad bimbingan Datuk Misbun Sidek itu.

Senario itu menyaksikan hanya Zii Jia bakal mendukung tanggungjawab Malaysia di pentas tertinggi antarabangsa.

"Terserah kepada individu itu sendiri sebab modul latihannya sudah ada. 

"Pemain perlu bekerja keras, saya tidak percaya bahawa mereka tidak diberikan peluang sedangkan ia sudah diberi. 

"Mereka perlu mengkaji serta mengenal pasti apa yang perlu diterapkan lagi," tambahnya. 
 

Advertisement

Must Watch Video