Skip to main content

Badminton

Choong Hann cabar pemain muda

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

choonghann.jpg
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, mencabar barisan pemain perseorangan lelaki muda negara untuk berada dalam kelompok 30 pemain terbaik dunia dalam tempoh dua tahun akan datang.

Katanya, empat pemain muda yang baru dinaikkan ‘pangkat’ ke skuad senior, iaitu Lim Chong King, Aidil Sholeh Ali Sadikin, Ng Tze Yong dan Muhammad Ziyad Md Tah, perlu mempunyai misi dan visi untuk meletakkan diri mereka di ranking terbaik sebagai motivasi diri.

"Dengan adanya visi dan misi untuk dicapai, ia memudahkan pemain untuk lebih bermotivasi dan berdaya tahan yang tinggi untuk menghadapi situasi latihan yang sukar dan ketat. 

"Seharusnya dalam masa dua tahun ini, mereka sudah mempunyai satu platform yang kuat untuk berada di ranking terbaik. Kalau kita lihat pemain luar negara, kebiasaannya bakat pemain berpotensi dapat dilihat seawal umur 21 tahun," katanya di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini.

Berdasarkan ranking terkini BWF, Ziyad menduduki ranking ke-318, diikuti Chong King (373), Aidil Sholeh (591) manakala Tze Yong masih belum tersenarai.

Mengulas mengenai pemain yang gagal ke pentas final Kejohanan Siri Antarabangsa Malaysia di Ipoh minggu lalu, Choong Hann mengakui Chong King memang seorang pemain muda yang menonjol dalam kalangan pemain yang diserap ke dalam pasukan kebangsaan awal tahun ini.

"Memang mereka (pemain dalam tempoh percubaan termasuk Chong King) menonjol daripada segi latihan, kerja keras dan berdisiplin. Daripada segi keputusan, Chong King menunjukkan prestasi lebih bagus. 

"Jadi, memang kita fokus daripada segi latihan yang lebih berat kepada mereka supaya mereka boleh terus bawa kegemilangan badminton Malaysia pada masa akan datang," katanya.

-- BERNAMA  

Advertisement

Must Watch Video