Skip to main content

Badminton

Chong Wei: Kemenangan atas Jepun penting

240517-chong-wei.jpg
Perseorangan utama negara, Datuk Lee Chong Wei, menyifatkan pertemuan menentang Jepun dalam perlawanan kedua Piala Sudirman 2017 petang ini sangat penting.

Jelas Chong Wei, kemenangan menentang Jepun amat diperlukan untuk menyuntik semangat dalam diri semua pemain bagi menghadapi saingan yang lebih mencabar.

Selain itu, hanya kemenangan dalam pertemuan terakhir peringkat kumpulan itu yang dapat menjamin tempat pertama dalam Kumpulan 1C, sekaligus mengelak pasukan pilihan seperti China di peringkat seterusnya.

"Bagi saya, ia memang penting untuk tamatkan peringkat kumpulan di tangga teratas," kata Chong Wei.

Dalam pertemuan pertama menentang Jerman, Chong Wei berjaya menewaskan pemain ranking ke-36 dunia, Fabian Roth, 21-12,21-11.

Dalam masa sama, perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, mengatakan bahawa meskipun skuad Jepun memiliki dua pemain berbakat, Akane Yamaguchi dan Nozomi Okuhara, dia tidak berasa gentar untuk menghadapi pertemuan menentang pasukan Negara Matahari Terbit itu.

"Jika saya diberikan peluang ketika menentang Jepun, saya akan turun ke gelanggang tanpa mengira siapa lawan yang menanti," jelasnya.

Advertisement

Topik Berkaitan

Must Watch Video