BADMINTON
Cabaran Antarabangsa Malaysia: Impian hatrik Kisona lebur
Impian pemain perseorangan wanita negara, S. Kisona, untuk melakar kemenangan hatrik dalam Kejohanan Badminton Cabaran Antarabangsa Malaysia musnah selepas tumpas kepada pemain Indonesia, Sri Fatmawati, dalam aksi separuh akhir di Arena Badminton Perak, Ipoh, hari ini.
Meskipun mendapat sokongan padu penonton, pemain kelahiran Seremban itu gagal menandingi kehebatan Sri Fatmawati selaku pilihan ketujuh apabila tumpas 11-21, 21-15, 23-25 dalam aksi 1 jam 2 minit itu.
Kisona ketika ditemui Bernama selepas perlawanan mengakui kekalahannya kepada pemain Indonesia itu disebabkan rasa gugup selain hilang fokus terutama dalam set pertama dan kedua hingga membolehkan lawan mengutip mata mudah.
Iklan
Katanya, beliau juga menerima kekalahan tersebut dengan hati terbuka dan berazam mempertingkatkan prestasi bagi memastikan kejayaan dapat dikecapi dalam kejohanan akan datang.
"Secara keseluruhan, kekalahan ini juga disebabkan kawalan gelanggang yang kurang kemas. Saya juga terlalu banyak hantar bola (bulu tangkis) tinggi hingga membolehkan lawan untuk melakukan smash dan mengutip mata mudah.
"Apa pun, adat pertandingan ada yang menang dan ada yang kalah. Bagi saya, dalam kejohanan kali ini, saya banyak belajar supaya mempelbagaikan cara permainan dan pada masa yang sama perlu tingkatkan prestasi ke tahap lebih baik," katanya.
Kisona memenangi kejohanan itu sebanyak dua kali iaitu pada 2017 di Putrajaya dan di Pulau Pinang tahun lalu.
Sementara itu, Sri Fatmawati akan menentang seorang lagi wakil negara, Eoon Qi Xuan, yang menumpaskan pemain Thailand, Nuntakarn Aimsaard 21-6, 21-18.
-- BERNAMA
Must-Watch Video



.jpg?ext=.jpg)