Skuad wanita negara mengulangi pencapaian mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Berpasukan Asia dalam edisi di Filipina, dua tahun lalu selepas melakar kemenangan 3-2 ke atas India dalam aksi terakhir Kumpulan Y, sebentar tadi.

Taruhan utama perseorangan negara, S. Kisona, berhempas-pulas menundukkan Aakarshi Kashyap dalam pertarungan tiga set.

Biarpun menang 21-16 dalam set pembukaan, tetapi rentetan kesilapan sendiri menjadi punca juara Sukan SEA 2019 itu tewas 18-21 dalam set berikutnya.

Mujur Kisona kembali mendapat rentak dengan menguasai permainan rali untuk meraih kemenangan 21-16 sekali gus mengutip mata pertama negara yang menewaskan Jepun semalam.

Momentum positif skuad negara diteruskan gandingan Valeree Siow-Pearly Tan yang mudah menoktahkan kemenangan ke atas Kushi Gupta-Mehreen Riza 21-1, 21-6.




Bagaimanapun, hasrat Siti Nurshuhaini Azman untuk mengulangi prestasi semalam terhenti apabila bergelut menyaingi keamatan lawannya, Ashmita Chaliha.

Finalis Terbuka Republik Czech 2021 berusia 18 tahun itu kecundang 11-21, 19-21.

Beregu, Anna Cheong-Teoh Mei Xing, segera memastikan laluan ke separuh akhir menerusi kemenangan ke atas Bala Radhakrishnan-Nila Valluvan 21-10, 21-12.

Myisha Khairul, 19, yang diturunkan kemudian tewas Tara Shah selepas cuba memberi saingan tetapi ia tidak menggugat kejayaan 3-2 skuad negara.

Kemenangan itu memastikan Malaysia mara ke Piala Uber pada Mei depan.