Skip to main content

Badminton

Berpasukan Asia: Malaysia juara Kumpulan B

bad.jpg
Skuad badminton lelaki negara jelas meraih kepuasan tersendiri susulan kejayaan muncul juara Kumpulan B Kejohanan Berpasukan Asia sekali gus menempah tiket suku akhir selepas menewaskan India 4-1 di Manila, Filipina, hari ini.

Perseorangan nombor satu negara, Lee Zii Jia, memberikan mata pertama buat skuad negara selepas mengatasi B. Sai Praneeth 21-18, 21-15 sebelum gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik meraih mata kedua menerusi kemenangan 21-18, 21-15 ke atas M. R. Arjun-Chirag Shetty.

Walaupun K. Srinkanth cuba mencipta kebangkitan buat India susulan kemenangan 14-21, 21-16, 21-19 ke atas Cheam June Wei, keyakinan tinggi membolehkan gandingan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin tidak berdepan masalah untuk menjinakkan Dhruv Kapila-Lakhsya Sen 21-14, 21-14 sebelum Leong Jun Hao mengesahkan kemenangan kem kebangsaan setelah menundukkan H. S. Prannoy 21-10, 21-15.

"Memang lawan merupakan pemain dalam kelompok 20 terbaik dunia dan tahun lalu dia melangkah ke separuh akhir Kejohanan Dunia. Jadi, memang mencabar untuk menundukkannya. Namun, kadangkala prestasi tidak menentu dan hari ini, dia melakukan kesilapan yang lebih banyak dan saya gunakan kelebihan itu," kata Zii Jia.

"Kami gembira meraih mata untuk Malaysia dan bergelar juara kumpulan. Kami tidak boleh kecewakan rakan sepasukan, tidak perlu fikir jauh sangat untuk mengelakkan diri sendiri tertekan," ujar Ee Yi.

"Dalam skuad, semua yakin dengan kemampuan rakan sepasukan," tambah Yew Sin.

Dalam aksi suku akhir yang dijadualkan esok, Malaysia bakal membuat perhitungan dengan Korea Selatan tatkala pemenangan pertemuan itu bakal berdepan Taiwan atau Jepun di pentas separuh akhir.


Editor: Nafis Abdullah

Advertisement

Must Watch Video

Advertisement: No Ad Tag found