Skip to main content

Badminton

Belum masa untuk rasa puas -- Fazriq

fazriq-1.jpg
Pemain badminton remaja negara, Muhammad Fazriq Razif, tidak mahu mendabik dada selepas muncul juara perseorangan dan beregu lelaki dalam Kejohanan Badminton Grand Prix Final Sirkit Remaja Kebangsaan 2019.​

Pemain berusia 15 tahun itu menganggap kejayaan yang diraih di Seremban hari ini sebagai titik permulaan dan langkah positif dalam kariernya selain daripada suntikan semangat untuk menghadapi Kejohanan Badminton Remaja Asia di China yang akan bermula 20 Julai ini.

Anak legenda negara, Datuk Razif Sidek, itu melakar nama di Jepun dalam Kejohanan Jemputan Shonai B-15 sebelum turun selaku pemain pilihan utama dalam acara perseorangan dan pilihan kedua bagi kategori beregu dalam saingan kali ini.

“Saya rasa sangat bangga tetapi perlu lakukan lebih baik selepas ini. Perlawanan ini membuatkan saya lebih bersemangat untuk beraksi di pentas Junior Asia di China, jadi saya perlu persiapkan diri,” ujarnya.

Sementara itu, Razif berbangga dengan kecemerlangan anaknya sepanjang tahun ini dan berharap dia mampu mengekalkan prestasi itu.

Ketika ini, Razif enggan mendesak anaknya untuk memberi tumpuan kepada satu acara tetapi dia mahu Fazriq terus diberi pendedahan dan mengumpul pengalaman dalam kategori perseorangan dan beregu.

“Dia telah menjuarai perseorangan dan beregu. Walaupun dalam keadaan sukar, dia telah melepasi ujian itu dengan baik. Saya sangat gembira,” katanya.

Dalam masa sama, perkembangan Fazriq turut menarik perhatian ketua jurulatih skuad remaja negara, Kwan Yoke Meng, dan pengendali skuad B-15 kebangsaan, Hafiz Hashim.

"Sekarang terlalu awal untuk tentukan dia beraksi dalam perseorangan atau beregu. Saya rasa apabila dia memasuki usia 16 atau 17 tahun, ia boleh ditentukan.

"Fazriq seorang pemain yang bagus secara keseluruhan, bagus dalam pertahanan dan serangan balas. Sebab itu lawan sukar mengawalnya," ujar Yoke Meng.

"Kalau dilihat, Fazriq memang pemain berpotensi. Dia sangat berdisiplin dan komited. Saya harap beberapa tahun lagi akan dapat melihatnya maju ke depan, terutama di peringkat antarabangsa," tambah Hafiz.

Advertisement

Must Watch Video