Bekas pemain badminton negara, Tan Chee Tean, meninggal dunia selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Republik Czech, kelmarin.

Dia meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Austria selepas menyertai satu kejohanan di negara itu.

Kemalangan tersebut berlaku di selatan Brno, Republic Czech yang turut melibatkan dua pemain Austria, iaitu Antonia Meinke dan Jenny Ertl, tetapi kedua-duanya hanya mengalami kecederaan.

Mereka baru sahaja menyertai Kejohanan Cabaran Antarabangsa Republic Czech, dengan Meinke adalah pasangan Chee Tean dalam acara beregu campuran tetapi mereka terkandas dalam pusingan pertama.

Pemain berusia 24 tahun itu pernah bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selama enam tahun sejak 2012 dan meninggalkan skuad kebangsaan awal tahun ini.

“Saya amat sedih apabila mengetahui kematian Chee Tean. Beliau anak muda yang mempunyai bakat istimewa, yang mampu bermain dalam beregu campuran dan beregu lelaki

“Pemergiannya adalah kerugian besar bukan hanya kepada keluarga beliau tetapi juga kepada pemain dan peminat badminton. Doa dan ingatan kami bersama-sama keluarga dan rakan-rakan mendiang pada masa yang sukar ini,” kata Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, dalam satu kenyataan.