Skip to main content

Badminton

Barisan jurulatih cari jalan bangkitkan semangat juang tinggi Chong Wei

lee-chong-wei.jpg
Jurulatih badminton perseorangan lelaki negara, Hendrawan, gusar memikirkan perkembangan membabitkan Datuk Lee Chong Wei berbanding senario barisan pencabarnya dalam Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, Ogos depan.

Aspek yang ditekankannya adalah mengenai kemahuan jaguh perseorangan negara itu sendiri.

Menyorot kembali kepada dua pertemuan Chong Wei menentang seteru utamanya, Lin Dan, pada tahun ini membangkitkan kebimbangan Hendrawan, khususnya pertemuan kedua dalam separuh akhir Kejohanan Badminton Asia di Wuhan, China, bulan lalu dengan Chong Wei mudah memberi laluan kepada Lin Dan yang merekodkan kemenangan straight set.

Bagi Hendrawan, aspek lebih penting adalah untuk membangkitkan semula keghairahan dan mengekalkan kemahuan Chong Wei demi merealisasikan aspirasinya bergelar juara dunia di Glasgow nanti.

"Pemain seperti Datuk (Chong Wei) dan Lin Dan, kemahuan mereka itu tetap nombor satu.

"Kalau tahap (kemahuannya) kurang, itu akan mempengaruhi kesemuanya, termasuk situasi dalam gelanggang ataupun ketika mata penting sehingga dia berasakan laluannya hari ini bukannya mudah," katanya.

Selain itu, perincian semula perlu dilakukan Hendrawan serta seorang lagi jurulatih perseorangan, Tey Seu Bock, ke atas program latihan Chong Wei.

Ia susulan perubahan dalam corak permainan yang ditampilkan Lin Dan sepanjang tahun ini.

"Dalam pertemuan terakhir mereka, saya lihat ada perubahan dalam corak permainan Lin Dan.

"Saya akan berbincang dengan Chong Wei dan akan mengadakan perubahan dalam latihannya.

"Kami harus merancang bagi menyalakan kemahuannya sehingga Kejohanan Dunia seperti mana ketika dipamerkannya dalam Sukan Olimpik (Rio 2016).

"Kita boleh nampak semasa Olimpik, dia mempamerkan watak tidak mahu kalah.

"Itu akan membantunya untuk memberi saingan."

Advertisement

Must Watch Video