Skip to main content

Badminton

BAM letak harapan tinggi terhadap V Shem, Wee Kiong

norza-zakaria_1.jpg
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mahu mengelak daripada sebarang tindakan radikal dalam menangani krisis prestasi beregu nombor satu negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, sebaliknya akan mengambil pendekatan "perbincangan hati ke hati".

Ini kerana pentingnya kedua-dua pemain ini -- termasuk Goh V Shem yang baru sahaja mendirikan rumah tangga -- mengambil pendekatan yang lebih bijak dalam mengimbangkan di antara kehidupan peribadi serta karier.

Besar harapan diletakkan ke atas bahu V Shem dan Wee Kiong pasca Sukan Olimpik Rio 2016 susulan kejayaan mereka muncul finalis di temasya itu di samping kejayaan menamatkan musim lalu sebagai beregu nombor satu dunia.

Bagaimanapun, 2017 ibarat serba tidak menjadi buat gandingan ini apabila bukan sahaja kehilangan takhta no.1 dunia, malah keputusan sepanjang musim ini tidak mencerminkan kemampuan sebenar mereka

"Mereka telah mengenal pasti beberapa isu, antaranya intensiti latihan tahun lepas agak berbeza berbanding tahun ini.

"Ini kerana tahun lepas mereka menjalani persiapan menghadapi Sukan Olimpik Rio tetapi tahun ini mereka berdepan pelbagai gangguan," ujar Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria.

Sebarang perancangan memastikan Malaysia mencapai sasaran sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir Piala Sudirman di Gold Coast, Australia memerlukan gandingan ini berada di kemuncak prestasi.

Tetapi BAM berasakan setiap pemain yang disenaraikan ke kempen itu -- walaupun tidak berada di prestasi sebenar ketika ini -- perlu menjelmakan kemampuan sebenar sebaik menjejakkan kaki di Australia nanti.

"Kita masih berpegang kepada sasaran, iaitu ke separuh akhir. Kerana itulah, saya sudah berjumpa Morten Frost (Pengarah Teknikal BAM) dan pemain bahawa apa sahaja masalah atau isu yang dihadapi perlu ditangani sebelum 17 Mei ini kerana mereka akan berangkat ke Gold Coast pada tarikh itu," tambah Norza.
 

Advertisement

Must Watch Video