Persatuan Badminton Malaysia (BAM) enggan bertikam lidah dengan bekas Pengarah Pembangunan Perseorangan Remaja Negara, Datuk Misbun Sidek, susulan penamatan kontrak jurulatih legenda itu minggu lalu.
Misbun, dalam satu sidang media di ibu negara semalam, menafikan bahawa dia meninggalkan jawatan itu atas dasar persetujuan bersama dengan BAM.
ini kerana kontraknya, yang kembali menyertai BAM pada 2017, sepatutnya tamat pada hujung tahun ini tetapi ia ditamatkan Jumaat lalu.
BAM sebaliknya mengambil pendekatan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan balas susulan sidang media yang diadakan jurulatih berusia 63 tahun itu.
Timbalan Presiden BAM, Datuk V. Subramaniam, yang mempengerusikan jawatankuasa Khas bagi menyiasat kegagalan skuad remaja negara dalam Kejohanan Remaja Asia di bawah bimbingan Misbun, berkata: "Saya sudah menerangkan semua pada hari itu dan kami juga sudah menyerahkan surat kepadanya mengikut undang-undang.
"Jadi saya tidak ada apa-apa komen yang boleh saya buat," katanya.
Muzaffar Musa
Tue Aug 01 2023