Kejohanan Badminton Purple League 2021 membuka tirainya dengan menyaksikan Serdang melaungkan amaran awal selepas mencatat kemenangan bergaya 13-4 ke atas Bangi City dalam perlawanan pembukaan kumpulan A, di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya, pagi tadi.
Serdang bermula dengan langkah kanan menerusi kemenangan beregu campuran, Kashley Kho Tze Yin-Yap Qar Siong, yang menundukkan Mohamad Najmi Kamarudin-Siti Farhana Nabilah 10-11, 11-8, 11-8, 11-8 dalam perlawanan pertama, disusuli dengan kemenangan meyakinkan pemain perseorangan mereka, Too Ming Yap, ke atas Muhammad Affan 11-6, 11-5, 11-9 dalam masa 27 minit.
Bangi City kemudian menunjukkan tanda-tanda kebangkitan apabila perseorangan wanita, Nurul Aisyah Ahmad, menewaskan Teh Won Quin 6-11, 11-9, 11-8, 11-4. Bagaimanapun, momentum kemenangan Bangi City terhenti apabila beregu lelaki mereka, Fawwaz Zainuddin-Muhammad Aizat, tewas straight set kepada gandingan Boon Xin Yuan-Wong Tien Ci sebelum beregu wanita Serdang, Lee Shirley-Lee Zhi Qing, bangkit menyumbang mata buat Serdang dengan mengecewakan, Ariessa Sofea Azhar-Fairuz Fadlin Fadzal, juga dalam dua set.
Menurut pengurus pasukan Serdang, Ong Ewe Hock, “Ini adalah satu kemenangan yang cukup berharga buat pasukan dan saya percaya sekiranya momentum ini diteruskan, tidak mustahil untuk kami mara ke separuh akhir.
"Saya juga berbangga dapat membawa pasukan ini beraksi di pentas kompetitif seperti ini.”
Hadir sama adalah Ketua Pegawai Operasi Malaysia Purple League, Ho Khek Mong, yang meluahkan rasa terujanya menyaksikan hari pertama pertandingan.
“Saya gembira melihat hampir 80 peratus juara di peringkat negeri dan beberapa pemain utama menyertai pertandingan ini.
"Saya harapkan segalanya berjalan dengan lancar untuk edisi kali ini," katanya pula.
Dalam pada itu, pilihan utama kejohanan, Butterworth, terpaksa bermandi peluh apabila diberi tentangan sengit oleh DSBC Labuan dengan hanya sekadar menang 11-9.
Bekas juara dunia remaja, Goh Jin Wei, membuat kejutan apabila beraksi di dalam kategori beregu campuran. Bagaimanapun, Jin Wei yang digandingkan bersama Ching Choo Han dikejutkan 11-9, 6-11, 11-10, 7-11, 11-8 oleh Fong Kuo Yoong-Goh Shuen Tong.
“Saya menghargai kepercayaan yang diberikan oleh Butterworth kerana memanggil saya untuk bermain bersama mereka. Walaupun tewas, saya optimis saya mampu bangkit dan berikan yang terbaik untuk perlawanan akan datang," kata bekas bintang kebangsaan itu.
Sementara itu, Ampang Jaya dan Bandar Maharani turut mencuri tumpuan apabila menumpaskan lawan masing-masing dalam perlawanan sebelah petang.
Turun selaku pilihan kedua, Ampang Jaya menewaskan Jinjang BC 12-6 sementara Bandar Maharani mencipta sensasi dengan melakar kejutan ke atas Petaling Jaya BC 8-9.
Saingan peringkat kumpulan dijangka menarik perhatian esok dengan DSBC Labuan membuat perhitungan bersama Serdang sementara Ampang Jaya BC berdepan cabaran Bandar Maharani BC.