Selepas membelasah DSBC Labuan 12-4 dalam perlawanan semalam, Seremban City sekali lagi mencipta sensasi apabila membenam Bangi City dengan selesa 11-4 dalam Kejohanan Badminton Purple League 2021 di Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya , hari ini.

Kemenangan itu secara tidak langsung meletakkan mereka di landasan terbaik untuk mara ke separuh akhir.

Seremban City memulakan rentak kemenangan melalui beregu campuran, Ng Wan Win-Tan Kok Xian, yang menundukkan gandingan Najmi Kamarudin-Siti Farhanah Nabilah dengan 11-7, 11-4, 11-10.

Bangi City, bagaimanapun, enggan memberi laluan mudah buat lawan apabila pemain perseorangan lelaki, Ikmal Aizat, menewaskan Gagan Jit Singh 11-6, 11-10, 9-11, 11-9.

Perseorangan wanita Seremban City, N. Saranya, kemudian menghadiahkan mata berharga buat pasukannya apabila bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Nurul Aisyah Ahmad 10-11, 11-5, 11-6, 11-5 sebelum pasangan adik beradik, Muhd Amar Sani-Muhd Amir Sani, meranapkan impian Bangi City dengan 11-5, 11-9, 11-5.

Perlawanan terakhir kedua-dua pasukan pula dihentikan apabila beregu wanita Seremban City, Ng Qi Xuan-Nur Syaza Roshdi, pula terpaksa menarik diri apabila Qi Xuan mengalami kecederaan pergelangan kaki dalam set yang kedua.

Namun, ia tidak mengubah keputusan kedudukan apabila Seremban City jauh mendahului 11-4 selepas empat perlawanan.

Mengulas prestasi Seremban City, pengurus pasukan yang juga bekas pemain beregu kebangsaan, Zakry Abdul Latif, enggan mendabik dada selepas dua perlawanan yang dilalui.

Menurutnya, “Kami belum lagi berdepan dengan lawan yang kuat seperti Serdang dan Butterworth. Kami akan melakukan pertukaran pemain untuk perlawanan esok ketika menentang Serdang memandangkan hari ini ada sedikit kekurangan kepada pasukan.

“Serdang adalah satu pasukan yang kuat dan saya harap pemain dapat mengekalkan prestasi yang sama untuk menewaskan mereka."





Turut mencuri tumpuan ialah perseorangan wanita pasukan DSBC Labuan, Arena Satu Samin, yang tekal menyumbang mata selepas tiga perlawanan.

Arena yang pernah mengungguli saingan Siri Antarabangsa Remaja Singapura 2019 bangkit untuk menewaskan lawannya dari Serdang, Teh Won Quin, 11-4, 8-11, 11-3, 11-6.

"Walaupun agak keletihan, saya gembira dapat menghadiahkan mata buat pasukan. Saya ingin kekalkan momentum ini untuk perlawanan seterusnya sekaligus membantu pasukan meraih kemenangan," kata anak jati negeri Sabah itu.

Perlawanan pada sebelah pagi pula menyaksikan Rawang menang selesa ke atas Jinjang 15-8 sementara Ampang Jaya menerima tentangan sengit daripada Bandar Maharani BC yang mengatasi mereka dengan 12-10.

Saingan peringkat kumpulan diteruskan esok dengan Seremban City membuat perhitungan dengan Serdang selain perlawanan membabitkan Petaling Jaya dan Ampang Jaya.