Skip to main content

Badminton

Badminton Dunia BWF: Aaron-Wooi Yik tamat badi, bawa cabaran Malaysia ke final

aaron-chia-wooi-yik-separuh-akhir.jpg
Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, berjaya menamatkan badi separuh akhir apabila berjaya mara ke final Kejohanan Badminton Dunia BWF, sebentar tadi.

Aaron-Wooi Yik sering berdepan masalah di peringkat separuh akhir dengan pada musim ini saja mengalami lima kali kekalahan manakala hanya sekali melepasi pusingan berkenaan iaitu pada Kejohanan Badminton Asia (BAC).

Gimnasium Tokyo Metropolitan yang menjadi venue kejohanan bakal menjadi saksi sama ada gandingan ini mampu untuk melepasi halangan berkenaan yang sering menghantui mereka.

Bertemu beregu India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, rekod lima pertemuan antara kedua-dua beregu itu menyaksikan kelebihan memihak kepada Aaron-Wooi Yik dengan lima kemenangan.

Kali terakhir mereka meraih kemenangan ke atas gandingan India itu adalah di pentas final acara berpasukan campuran Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang menyaksikan Malaysia meraih pingat emas dengan keputusan 3-1.

Saling mengejar mata menjadi sajian dalam perlawanan ini, Aaron-Wooi Yik berjaya mengheret perlawanan hingga ke 20-20 sebelum tewas 22-20 kepada pasangan India itu.

Aaron-Wooi Yik memperkemaskan rentak permainan apabila berjaya mendahului set kedua sebelum mengheret perlawanan ke set penentuan dengan kemenangan 21-18.

Dalam set penentuan, kedua-dua beregu ini saling mengutip mata demi mata sehinggalah beregu India melakukan kesilapan demi kesilapan sekaligus membenarkan Aaron-Wooi Yik menang 21-16 sekaligus melangkah ke final.

Hendra Setiawan-Mohamad Ahsan dari Indonesia bakal menjadi halangan terakhir bagi merebut gelaran juara dunia esok.
 

Advertisement

Must Watch Video