'Saya anggap diri sendiri gagal jika tidak layak ke pusingan akhir', itu keyakinan yang dilontarkan perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia.
Dia menyasarkan sekurang-kurangnya meraih naib juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2022 sekaligus layak ke Piala Thomas secara merit.
Pemain berusia 23 tahun berkenaan turut berkongsi perasaannya apabila kembali berlatih di Akademi Badminton Malaysia selepas hampir tiga minggu meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
"Saya sangat teruja kerana kembali ke ABM, saya sangat gembira dapat berlatih di sini bersama rakan sepasukan," kata Zii Jia.
"Saya telah mula berlatih sejak minggu dan berasakan tahap prestasi saya masih lagi di tahap terbaik."
Dalam masa sama, Zii Jia mengulas lanjut susulan skuad negara bakal berdepan Singapura sebagai aksi pembuka tirai kejohanan Rabu depan yang berkemungkinan dia menerima cabaran daripada juara dunia 2021, Loh Kean Yew.
Zii Jia mengakui ketika ini cabaran lebih berat menantinya selepas bergelar pemain profesional, namun bersedia menggalas tanggungjawab yang diberikan.
"Sememangnya ia merupakan perlawanan yang penting. Saya telah membuat persiapan bagi mengambil tanggungjawab untuk memastikan Malaysia terus bersaing di peringkat tertinggi.
"Tidak mengira tekanan atau sebaliknya, Malaysia perlu mara ke final bagi memastikan tempat ke Piala Thomas. Malaysia memiliki peluang terbaik dan jika gagal ke final, saya sendiri menganggap ia sebagai satu kegagalan."
Sementara itu, kem perseorangan lelaki negara menerima baik kehadiran Zii Jia menyertai semula sesi latihan di ABM menjelang Kejohanan Berpasukan Asia di mana Malaysia diundi dalam Kumpulan B bersama Jepun, Singapura dan Kazakhstan.
Aidil Sholeh Ali Sadikin dan Leong Jun Hao menganggap kehadiran Zii Jia dapat meningkatkan latihan mereka lebih intensif selain bersedia mengharungi kejohanan yang menawarkan kelayakan ke Piala Thomas itu.
Ammar Hakim
Fri Feb 11 2022