Skip to main content

Badminton

Badminton Berpasukan Asia: Yew Sin yakin pulih

ong-yew-sin.png
Status kecergasan pemain beregu lelaki, Ong Yew Sin, menjadi tanda tanya selepas dilaporkan mengalami kecederaan bahu dan belakang hingga merencatkan perancangan kem Malaysia dalam menghadapi Kejohanan Berpasukan Asia di Alor Setar, Kedah, Selasa depan. 

Pentas itu menjadi medan buat Malaysia menempah tempat ke pusingan akhir Piala Thomas di Bangkok, Mei depan. 

Meskipun prestasi Yiew Sin dan Teo Ee Yi dalam dua kejohanan terakhir, Kejohanan Masters Thailand dan Masters Malaysia, gagal meninggalkan impak besar, jurulatih beregu negara, Cheah Soon Kit, bagaimanapun, mengakui merekalah yang terbaik yang dimiliki selepas gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong. 

Justeru, berita kecederaan Yew Sin dianggap sesuatu yang dipandang serius dalam usaha Malaysia memburu slot automatik ke Piala Thomas.

Jika Yew Sin gagal pulih sebelum bermulanya Kejohanan Berpasukan Asia, Soon Kit perlu mengambil risiko menurunkan barisan muda, Goh Sze Fei-Nur Izzudin Rumsani. 

"Ong Yew Sin ditimpa masalah belakang dan bahu manakala gandingannya, Ee Yi, mengadu kepenatan.

"Kami akan menilai keadaannya nanti. 

"Kami mengambil pendekatan psikologi tentang kepentingan kejohanan ini," kata Soon Kit. 

Pelbagai usaha sedang dilakukan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Institut Sukan Negara (ISN) demi memastikan Yew Sin pulih segera sebelum saingan sebenar bermula. 

"Bahu saya terasa ketat kerana masalah otot. 

"Keadaan saya bertambah baik pada minggu ini berbanding minggu lalu. Saya tidak mempunyai masalah untuk beraksi di Kedah nanti," ujarnya. 

Malaysia kini di tangga kesembilan dalam senarai pasukan badminton dunia dan boleh terlepas Piala Thomas jika gagal menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik Kejohanan Berpasukan Asia. 

Advertisement

Must Watch Video