Skip to main content

Sepak Takraw

STL: Kelantan Warriors atasi juara bertahan

70354906_1361303777385814_4616475495372947456_o.jpg
KELANTAN WARRIORS 2 PENANG BLACK PANTHERS 1

Kelantan Warriors meraih kemenangan kedua berturut-turut dalam aksi minggu kedua dengan mengejutkan juara bertahan, Penang Black Panthers, dalam saingan Liga Sepak Takraw di Stadium MABA, sebentar tadi.


Walaupun di atas kertas Black Panthers turun selaku pasukan pilihan, Kelantan Warriors tampil dengan aksi cemerlang apabila meraih kemenangan set pertama 21-15 dalam tempoh 24 minit.

Black Panthers memperkemaskan corak permainan, dengan perejam negara, Azlan Alias, merupakan penyumbang mata-mata penting buat juara Piala Sumbangsih itu dan deretan kesilapan tekong Warriors, Apirak Promane, menyaksikan mereka tewas dalam dalam set kedua 21-18.

Kedua-dua pasukan menampilkan saingan sengit dalam set penentuan apabila saling mengutip mata sehinggalah terikat 20-20.

Bagaimanapun, Warriors enggan berputih mata dan memastikan hal itu tidak meresahkan mereka, sekaligus mencetak kemenangan 22-20.

Sementara itu, satu lagi aksi menyaksikan Negeri Sembilan Antlers meraih kemenangan ketiga musim ini selepas menumpaskan cabaran PDRM Defenders.

Antlers, bagaimanapun, terpaksa akur apabila ketinggalan setelah PDRM  merampas set pertama 21-19.

Set kedua menampilkan corak permainan seimbang dan kebangkitan Antlers ditunjangi oleh perejam, Hafizul Hayazi Adnan, yang menjadi tumpuan apabila melakukan beberapa serangan menarik, sekali gus memastikan pasukannya mengungguli 21-18 bagi mengheret aksi ke set penentuan.

Antlers menggandakan asakan dalam set ketiga dan berjaya mendominasi Defenders sebelum mengakhiri saingan dengan kemenangan 21-17.

Keputusan lain:

SABAH MOUNTAINEERS 1 ATM GUARDIANS 2

Advertisement

Must Watch Video