Skip to main content

Sepak Takraw

Moh gempur Manang City -- Fazil

stl-shohibul-021217.jpg
Perejam Perak Bison, Muhammad Fazil Mustapa, mahu membuktikan pertemuan menentang Manang City Voyager dalam aksi separuh akhir Piala Juara Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium Tertutup (MPSJ), Serdang Jaya, hari ini sebagai titik tolak kebangkitan sukan sepak takraw negara.

Menurut Fazil, "Apa sahaja boleh dicapai jika ada perasaan positif.  Bagi saya, separuh akhir ini kali ini sungguh istimewa untuk Perak Bison. Saya yakin jurulatih, Ismi Hissan Ismail, dan penolongnya, Azizul Ishak, ada ramuan.

"Kami pula sebagai pemain berikrar akan melaksanakan misi dengan sebaik mungkin," katanya.

Sedar akan kekentalan pasukan lawan, Fazil mengandaikan jika berjaya merobek keyakinan pemain Manang City, pasti wujud lubuk mata di situ.

"Ini kelebihan mereka. Asas sepak takraw mereka tinggi. Kekangan untuk mendapat mata selalunya meruntuhkan mental dan menurunkan keyakinan. Oleh itu, permainan Perak malam ini kena dipahat semangat tinggi," ujar Fazil.

Tekong Perak, Meor Mohd Zulfikar Mat Amin, turut senada dengan Fazil, tiada yang mustahil. Lagipun, jika sudah sampai ke tahap ini, maka mereka tidak perlu sangsi dengan kekuatan diri sendiri.

Katanya, "Peluang malam ini 50-50. Kami mahu membuktikan Perak Bison boleh, Malaysia boleh. Saya harap, ego Manang City tercalar malam ini."

Advertisement

Must Watch Video