Selepas terpaksa beraksi tiga set dalam perlawanan sengit semalam menentang Kedah Eagles, Terengganu Turtles kini sudah mula serasi dengan gelanggang saingan Liga Sepak Takraw (STL) Divisyen 1.

Biarpun sudah serasi tetapi regu yang terdiri daripada Fariz Azrai, Hasmadi Wahab dan juga Izzat Shahrir sebenarnya turut menghadapi saingan sengit Perlis Vipers.

Kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan yang cemerlang apabila saling mengejar mata apabila terikat mata 5-5 diikuti 9-9.

Selepas mendahului 10-9, Terengganu terus garang dan mendahului 17-11 namun tidak mematahkan semangat Perlis apabila rejaman padu daripada Amir bertubi-tubi membawa mereka untuk bangkit mengejar dan menyamakan kedudukan 20-20.

Tetapi akhirnya Terenganu Turtles berjaya memastikan kemenangan 24-22.

Aksi di set kedua bertukar wajah apabila Perlis seolah tidak lagi bermaya.

Tanpa mengambil masa yang lama, Terengganu mendahului 15-4 sebelum menoktahkan kemenangan 21-6.